KOTA KINABALU, 11 Feb - Jika tidak berhati-hati, manusia memerlukan sebuah lagi bumi untuk menjamin kelangsungan hidup mereka menjelang 2050, kata seorang pakar hari ini.Pengarah eksekutif pusat alam sekitar serantau Yayasan Asia-Eropah Marta Szigeti Bonifert meramalkan satu letusan demografi akan berlaku menjelang 2050 yang mengakibatkan berlakunya kekurangan bekalan makanan dan air serta terjadinya perubahan iklim, yang boleh merosakkan ekosistem dan memberi kesan buruk terhadap cuaca.
Katanya menjelang tahun berkenaan, penduduk bumi akan mengalami masalah besar apabila jumlah mereka bertambah dengan pesat, manakala sumber alam pula sudah kehabisan.
"Jika kita terus mengamalkan cara penggunaan yang ada sekarang, maka menjelang 2050, kita memerlukan sebuah lagi bumi. Malangnya, tidak ada bumi selain yang kita diami ini.
"Oleh itu, semua komuniti perlu memastikan wujudnya keseimbangan antara kewujudan manusia dan ekosistem dengan mengamalkan pembangunan secara lestari.
"Bumi ibarat kapal angkasa yang terhad kemampuannya dalam segenap segi," kata beliau dalam ceramah bertajuk 'Transition To Sustainability Through Cooperation' di sebuah hotel di sini, yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun.
Bonifert berkata kini dunia menghadapi beraneka cabaran, termasuk kenaikan harga barangan keperluan dan pencemaran.
"Cabaran ini membawa kepada bertambahnya isu sosial, kejatuhan ekonomi dan perubahan pola jangkitan penyakit.
"Bagi memastikan wujudnya pembangunan lestari, kita perlu memikirkan langkah jangka panjang dalam memenuhi keperluan asas, satu struktur tadbir urus bagi mengawal pelaksanaannya, berkongsi sumber alam dan melindungi alam sekitar secara global," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan