KUALA LUMPUR, 19 Feb - Masalah hipertensi di kalangan golongan dewasa di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara berbanding 10 tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai.
Beliau berkata Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2006 melaporkan bahawa 43 peratus orang dewasa di Malaysia berumur 30 tahun dan ke atas mengalami hipertensi, peningkatan daripada 33 peratus berbanding 10 tahun sebelum itu.
"Kajian itu juga mendedahkan bahawa di kalangan pesakit hipertensi yang menerima rawatan, hanya 26 peratus daripada mereka berjaya mencapai sasaran tekanan darah," katanya ketika melancarkan Kongres Hipertensi Asia Pasifik 2009 di sini hari ini.
Kongres kali ketujuh itu diadakan selama empat hari bermula hari ini.
Liow berkata apa yang membimbangkan, hampir dua pertiga individu yang mengalami hipertensi di Malaysia tidak menyedari mereka menghadapi masalah itu, dan walaupun ada peningkatan dalam kadar rawatan pesakit yang didiagnosis, kadar pengawalan masih rendah.
Beliau berkata dijangkakan kira-kira 4.8 juta individu menghadapi hipertensi di Malaysia, manakala di dunia dianggarkan kira-kira 1 bilion orang.
Bagi memperbaiki keadaan itu, Liow menggesa rakyat Malaysia untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap dan memeriksa tekanan darah mereka bagi mengelakkan mengalami hipertensi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan