LONDON - Penulis terkenal, JK Rowling dijangka mencetuskan satu fenomena baru berikutan pelancaran novel terbarunya semalam.Novel yang bertajuk The Tales Of Beedle The Bard itu merupakan karya pertama Rowling selepas menamatkan siri novel ahli sihir remaja popular, Harry Potter.
Kebanyakan kedai buku di Britain dibuka awal supaya kanak-kanak dapat membeli novel berkenaan sebelum ke sekolah.
Buku tersebut juga dijual di lebih 20 buah negara dan ia dijangka menjadi novel paling popular pada musim perayaan Krismas tahun ini.
Rowling, 43, dijangka menganjurkan satu parti jamuan teh serta sesi membaca buku untuk 200 tetamu kanak-kanak sempena hari pertama novel itu dipasarkan.
Jualan buku tersebut akan didermakan ke satu yayasan yang ditubuhkan secara bersama oleh Rowling bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di timur Eropah.
The Tales Of Beedle The Bard berasal dari siri ke tujuh dan terakhir novel Harry Potter di mana ia merupakan sejumlah kisah dongeng yang diberikan kepada Hermione Granger oleh ketua Hogwarts, Albus Dumbledore.
Dalam novel tersebut, Potter menggunakan buku kisah dongeng itu bagi membantu menewaskan musuh ketatnya, Lord Voldemort.
Buku setebal 130 muka surat tersebut mengandungi lima kisah dongeng termasuk The Wizard And The Hopping Pot, Babbity Rabbitty And Her Cackling Stump dan The Warlock's Hairy Heart. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan