Rabu, 4 Februari 2009

Emas jadi pilihan ramai pembeli

SEHELAI pakaian diperbuat daripada emas seberat dua kilogram dijual pada harga AS$138,500 (RM494,680) di kedai emas RPS, Southall, London pada Rabu lalu.

LONDON - Perniagaan barangan kemas dan jongkong emas meningkat di sini ketika krisis kewangan semakin meruncing di Britain.

Emas menjadi pilihan pengguna kerana ia dianggap sebagai penyelamat semasa krisis kewangan kerana nilainya tidak akan turun.


Seorang wanita, Sadha Kaur berkata, dia membeli gelang emas untuk anak perempuannya sebagai persediaan untuk majlis perkahwinannya.

"Adalah lebih baik membeli emas berbanding beg tangan atau kasut kerana nilai emas kekal dan boleh dijual jika menghadapi masalah kewangan," katanya di sebuah kedai emas.

Kebanyakan wanita Asia Selatan gemar menyimpan barangan kemas sama seperti insurans sebagai persediaan untuk menghadapi masa sukar.

Sebuah syarikat pengedar jongkong emas, Baird & Co. menyatakan perniagaannya melonjak 40 peratus dan pihaknya menerima banyak tempahan daripada pembeli.

Emas menjadi pilihan kerana ketika ini harga rumah di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menjunam termasuk nilai saham. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan