
Kajian dakwa golongan itu atasi pelajar, pekerja
LONDON: Satu kajian terbaru menunjukkan golongan isteri menjadi kumpulan paling ramai melayari internet, malah jauh mengatasi pelajar, pekerja dan penganggur yang menggunakan kemudahan itu.
Kajian oleh firma analisis dan penyelidikan digital TNS Global Interacitve itu membabitkan 27,500 responden berusia 18 - 55 tahun di 16 negara iaitu Australia, Britain, Kanada, China, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea Selatan, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden dan Amerika Syarikat.
Apa didapati, golongan isteri terutama suri rumah di Britain menghabiskan separuh daripada masa lapang atau 47 peratus untuk melayari internet.
Jumlah itu daripada kira-kira 5.8 jam sehari, meletakkan mereka sebagai pengguna internet paling lama berbanding kelompok lain. Malah, 'ketagihan' mereka terhadap internet itu jauh mengatasi purata 5.2 jam sehari yang dihabiskan rakyat Britain secara keseluruhannya.
"Kami pada mulanya menyangka pelajar atau kumpulan penganggur sebagai paling ramai melayari internet. Tetapi sebaliknya kelompok isteri, khususnya suri rumah menjadi paling ramai iaitu 47 peratus berbanding pelajar yang cuma mencatatkan 39 peratus dan penganggur, 32 peratus.
"Malah, berbanding negara lain, rakyat Britain yang paling ramai menggunakan internet," kata Pengarah Urusan TNS, Arno Hummerston.
Beliau bagaimanapun menyifatkan tabiat suri rumah itu bukannya membuang masa sebaliknya menjadikan mereka kelompok yang lebih bijak memanfaatkan masa.
"Amalan melayari internet boleh membantu individu memperbaiki diri kerana bijak memanfaatkan masa yang ada. Dengan wujudnya lebih banyak kegiatan hiburan dan sosial secara online, ia turut menjadikan kehidupan kita jauh lebih berteknologi berbanding sebelumnya."
Katanya, antara tujuan utama internet dilayari adalah mencari topik di enjin carian sebanyak 80 peratus, penggunaan perbankan online (76 peratus), membaca berita (75 peratus), membayar bil (66 peratus), meninjau laporan cuaca (62 peratus), melayari laman web produk (62 peratus) dan laman web perbandingan harga sebanyak 60 peratus. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan