Isnin, 12 Januari 2009

Dubai World Central Selesai Pasang Pagar


DUBAI, 10 Jan - Pemasangan pagar dan pintu di sekeliling Dubai World Central (DWC), melibatkan kawasan pembangunan seluas 140 kilometer persegi yang bakal menjadi lapangan terbang terbesar di dunia - Lapangan Terbang Antarabangsa DWC Al Maktoum - kini siap.

Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat DWC, Abdulla Al Falasi berkata keseluruhan keluasan pagar itu adalah bersamaan dengan dua kali ganda Hong Kong.


"Ia menyediakan perlindungan dan keselamatan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini bagi membolehkan pembinaan DWC, terutama Lapangan Terbang Antarabangsa DWC Al Maktoum, berjalan lancar," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Dianggarkan 30,000 tan keluli dan wayar digunakan untuk keseluruhan kawasan, yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu.

Kerja infrastruktur lain yang dilaksanakan di DWC termasuk bangunan terminal kargo, menara kawalan, bantuan navigasi, ruang meletak kapal terbang, kompleks utiliti berpusat, substesen elektrik, kawasan penyimpanan bahan api serta stesen bomba dan balai polis, dijangka siap tidak lama lagi.

"Kerja-kerja di DWC berjalan lancar bagi persiapan menerima penerbangan pertama masuk dan keluar Lapangan Terbang Antarabangsa DWC-Al Maktoum yang dijangakan menjelang akhir 2009," kata Al Falasi mengenai kemajuan projek itu yang terletak 40km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.

Dengan anggaran kos projek bernilai AS$33 bilion, DWC mengandungi enam zon kelompok khusus - Lapangan Terbang Antarabangsa DWC-Al Maktoum, Bandaraya Logistik Dubai, Bandaraya Penerbangan DWC, Bandaraya Komersil DWC, Bandaraya Kediaman DWC dan Bandaraya Golf DWC. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan