Ahad, 25 Januari 2009

Aktif, tenang boleh elak nyanyuk

LONDON: Golongan yang aktif secara sosial dan tenang kurang berisiko menghidap masalah nyanyuk, menurut satu kajian baru.

Kajian membabitkan 506 warga tua yang tidak mengalami nyanyuk ketika pertama kali diperiksa. Mereka ditanya mengenai personaliti dan gaya hidup, untuk mengenal pasti golongan yang mengalami pelbagai tahap neuroticism iaitu mudah murung.

Persoalan turut mengukur keterbukaan bercakap dengan orang lain. Mereka yang tidak mudah berdepan masalah kemurungan adalah tenang dan berpuas hati dengan diri sendiri manakala yang senang menghidap masalah itu adalah tidak stabil dari segi ekonomi, negatif dan gementar.

Peserta yang riang mendapat skala lebih tinggi dari segi percakapan dengan orang lain dan aktif dari segi sosial serta optimis berbanding orang tidak suka bercampur.

Soal selidik gaya hidup menentukan sekerap mana seseorang itu terbabit dalam aktiviti masa lapang dan tersusun. Peserta diawasi selama enam tahun dan pada tempoh itu, 144 mengalami nyanyuk.

Kajian mendapati orang yang tidak aktif secara sosial tetapi tenang berisiko 50 peratus lebih rendah mengalami nyanyuk berbanding mereka yang terasing dan senang menghidap kemurungan.

Risiko nyanyuk juga 50 peratus lebih rendah di kalangan orang suka bercampur dan tenang berbanding mereka suka bercampur tetapi mudah diserang kemurungan.


"Pada masa lalu, kajian menunjukkan kemurungan kronik boleh menjejaskan beberapa bahagian otak, seperti hippocampus, kemungkinan membawa kepada nyanyuk, tetapi kajian mendapati ketenangan dan suka bercampur digabungkan dengan gaya hidup aktif mengurangkan risiko nyanyuk.

" Namun ia keputusan awal, jadi sejauh masa perlakuan mental sebenarnya mempengaruhi risiko nyanyuk masih tidak jelas," kata penulis kajian, Hui-Xin Wang dari Institut Karolinska di Stockholm, Sweden. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan