Jumaat, 23 Januari 2009

700 Ulamak Indonesia Bincang Hukum Merokok

JAKARTA, 21 Jan - Sekumpulan 700 ulamak Indonesia terlibat dalam perbincangan mengenai hukum merokok sama ada halal, haram, makruh atau mubah Jumaat ini.

Perbincangan itu akan disusuli dengan pengeluaran fatwa untuk menjadi pedoman kepada rakyat negara ini yang merupakan antara jumlah perokok terbesar di dunia.

Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Ma`ruf Amin berkata Ijtima Ulama Komisi Fatwa se-Indonesia III di Padang Panjang, Sumatera Barat dari 23 hingga 26 Jan akan mengeluarkan fatwa mengenai hukum merokok.

"Satu hal yang akan dibahas secara muktamad dalam Ijtima Ulama itu adalah hukum merokok, baik yang pro maupun yang kontra akan menyampaikan pandangannya, sebelum diputuskan dalam sebuah fatwa," katanya pada sidang media mengenai ijtimak itu di sini, Rabu.

Perbahasan itu dijangka memakan masa yang panjang kerana pastinya banyak pendapat dikemukakan lantaran isu halal haram merokok sebelum ini turut dikaitkan dengan kepentingan ekonomi puluhan ribu pekerja industri kecil pembuatan rokok.

Beliau juga dipetik agensi berita Antara sebagai berkata ijtimak itu akan turut membincangkan beberapa hal lain seperti hubungan antara agama, pernikahan di usia muda, bank mata dan organ tubuh, makanan dan jaminan halal, senaman pernafasan yoga, undang-undang pornografi, serta hukum tidak mengundi dalam pilihan raya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan