
GAMBAR ini menunjukkan satu tingkap pameran barangan kemas Harry Winston di Paris pada Khamis (4 Dec. 2008) lalu.
PARIS - Empat lelaki bersenjata merompak sebuah kedai emas terkenal di Paris, Perancis kelmarin dan melarikan sejumlah berlian dan barangan kemas bernilai AS$102 juta (RM371 juta), kata polis semalam.
Empat perompak itu melarikan hampir semua barangan kemas yang dipamerkan di kedai emas Harry Winston dan rompakan tersebut dianggap antara terbesar di dunia.
Dua daripada perompak itu yang menyamar sebagai wanita berjaya melepasi sistem keselamatan ketat sebelum menyerbu kedai emas berkenaan pada pukul 5.30 petang (12.30 pagi waktu Malaysia).
Seorang jurucakap polis berkata, mereka mungkin berhadapan dengan penjenayah profesional kerana rompakan itu dirancang dengan rapi dan dilakukan tidak melebihi satu minit.
Jenayah itu mungkin dilakukan oleh orang dalam kerana kumpulan perompak tahu susun atur dan mengenali beberapa nama pekerja kedai emas.
Kumpulan perompak itu yang bercakap dalam bahasa Perancis memasukkan sejumlah kerongsang, cincin, rantai dan pelbagai barangan kemas lain ke dalam beg sebelum melarikan diri dengan motosikal tanpa melepaskan tembakan.
"Perompak itu mengancam pekerja dengan senapang patah dan tahu barangan yang ingin mereka larikan.
"Mujurlah tiada siapa yang cedera dalam kejadian ini dan tiada tembakan dilepaskan," kata jurucakap polis.
Menurutnya, satu operasi besar-besaran telah dilancarkan untuk mengesan perompak itu dan barangan kemas yang dilarikan.
Kedai emas tersebut pernah dirompak pada tahun lalu, walaupun ganjaran berjumlah £350,000 (RM1.86 juta) ditawarkan tetapi barangan kemas bernilai £8.6 juta (RM45.75 juta) yang dilarikan itu gagal dikesan.
Kedai emas itu popular di kalangan selebriti Hollywood termasuk aktres terkenal, Renee Zellweger yang pernah memperagakan koleksi barangan kemas dalam anugerah Oscar. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan