Sabtu, 6 Disember 2008

Ratu Rania dapat anugerah internet



Usaha bincang Islam di Youtube dihargai

AMMAN: Permaisuri Jordan, Rania menerima anugerah pertama laman web interaktif Youtube kerana usahanya berinteraksi secara langsung menerusi video bagi mengikis sentimen negatif terhadap dunia Islam dan Arab selain menggalakkan dialog peradaban dan antara budaya.

YouTube antara laman web paling popular, mewujudkan anugerah Visionary atau Wawasan bagi menghargai individu yang menggunakan laman bagi berkongsi video itu sebagai saluran perubahan sosial positif.

Siri itu yang berjalan selama lima bulan iaitu daripada Mac hingga Ogos lalu dan menerima kunjungan lebih dua juta pengunjung.

Kemunculan Rania berinteraksi dengan pengunjung dari segenap negara itu juga berlaku ketika masyarakat Islam berdepan kebiadapan pengarah dan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang menghasilkan filem Fitna yang menghina Muslim dan agama Islam.

Media tempatan dan antarabangsa melaporkan, isteri Raja Abdullah II itu turut muncul dalam satu video klip beberapa hari lalu bagi menyuarakan rasa terima kasih di atas penghargaan itu.

"Alasan utama saya melakukan inisiatif itu kerana mahukan orang ramai mengenali dunia Arab yang sebenar. Tiada tapisan, sekatan dan bukan skrip disediakan lebih awal," katanya.

Rania sememangnya bukan satu nama asing baik di rantau Asia Barat mahu pun antarabangsa berikutan usaha murninya dalam bidang kebajikan, khususnya pendidikan kanak-kanak.

Oktober lalu, Rania menjadi pilihan penonton sebuah program televisyen antarabangsa sebagai antara pemimpin dunia paling memberi inspirasi bagi tahun ini.

Program The Spirit of Leadership stesen Cable News Network (CNN), menyaksikan permaisuri jelita itu disenarai pendek di samping pemimpin lain termasuk bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan, ahli sains terkemuka Profesor Stephen Hawking dan penerima anugerah Nobel Wangari Maathai. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan