
WASHINGTON 10 Dis - Kandungan oksigen yang rendah dalam udara yang menyebabkan bengkak pada otak merupakan punca mengapa ramai pendaki Gunung Everest terbunuh.
Pasukan penyelidik antarabangsa yang diketuai oleh Paul Firth dari Hospital Massachusetts melaporkan, 212 kes kematian dilaporkan dari 1921 hingga 2006 di gunung berkenaan.
Bagi pendaki gunung Himalaya setinggi 8,850 meter itu, mereka akan berdepan dengan bahaya seperti suhu yang terlalu sejuk, angin kencang, perubahan cuaca dan runtuhan salji.
Kandungan oksigen dalam udara pula hanya satu pertiga daripada jumlah oksigen itu yang diperoleh pada paras laut.
"Tiada seorang pun mangsa yang diserang oleh Yeti atau makhluk lain," kata Firth merujuk kepada mitos 'orang salji' yang dikatakan wujud di pergunungan Himalaya itu.
Menurut Firth, terdapat kes kematian yang belum dipastikan puncanya namun sebahagiannya berpunca oleh serebrum edema pada ketinggian tinggi.
Dalam situasi ini, kandungan oksigen pada paras yang rendah menyebabkan saluran darah selebral bocor pada sekeliling tisu otak dan menyebabkan pembengkakan.
Kebanyakan kematian berlaku pada ketinggian lebih 8,000 meter dalam "zon mati", di kalangan mereka yang sudah sampai di puncak dan mahu turun semula.
"Pendaki lelaki yang mati pada paras ketinggian 8,000 meter, sebahagian besar mereka mengalami gejala-gejala neurologi atau hilang keupayaan diri," jelas Firth.
Pengkaji meramalkan kematian yang dianggap berpunca daripada jatuh atau hilang sepanjang pendakian mungkin kerana altitud tinggi dalam serebrum edema.
Kajian turut menunjukkan 1.3 peratus pendaki yang memanjat gunung tersebut telah berkubur di Everest.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan