Sabtu, 6 Disember 2008

Disney dituduh perosak minda


LONDON: Seorang paderi Katolik terkenal membidas syarikat Disney, dengan menyifatkannya merosakkan minda kanak-kanak dan menggalakkan sikap tamak menerusi filem animasinya.

Christopher Jamison menganggap filem animasi seperti Sleeping Beauty dan 101 Dalmatians menggalakkan sikap kepenggunaan di kalangan kanak-kanak.

Beliau menuduh Disney mengeksploitasi aspek kerohanian untuk menjual produk mereka selain menjadikan taman tema Disneyland umpama pesta zaman moden.

Katanya, syarikat itu berpura-pura kononnya menghasilkan cerita animasi yang sarat dengan mesej moral tetapi perkara yang sebenar adalah mereka membantu menanam budaya mengutamakan kebendaan di kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata, walaupun filem animasi seperti Sleeping Beauty dan 101 Dalmatians memaparkan pertembungan antara unsur kejahatan dan kebaikan, ia menyebabkan kanak-kanak menjadi tamak untuk membeli mainan dan barang promosi filem yang dihasilkan.

"Mesej di sebalik setiap filem, buku, taman tema dan kemeja T yang dihasilkan adalah dunia kanak-kanak memerlukan Disney, jadi mereka perlu melihat filem Disney yang seterusnya dan kita perlu memberikan cakera padat digital (DVD) filem Disney sebagai hadiah hari jadi mereka. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan