
Wanita berambut perang, hitam beri makna berbeza
LONDON: Lelaki lebih meminati wanita berambut perang sebagai teman wanita semata-mata, tetapi memilih wanita berambut hitam sebagai isteri yang disifatkan lebih setia, menurut kesimpulan satu tinjauan pendapat terbaru.
Tinjauan oleh syarikat pendandan rambut terkemuka Britain milik Andrew Collinge di kalangan 3,000 lelaki itu, sekali gus mengubah persepsi sebelum ini yang majoriti lelaki lebih meminati wanita berambut perang.
Hasil tinjauan terbaru itu sebaliknya menunjukkan wanita berambut perang lebih dianggap sekadar wanita untuk berseronok tetapi yang berambut hitam lebih layak dijadikan isteri.Majoriti atau satu bagi setiap lima responden berpendapat, wanita berambut perang sesuai dijadikan teman wanita kerana lebih berani, seksi dan personaliti yang ceria.
Namun, apabila ditanya wanita mana yang lebih setia, penuh kasih sayang, merendah diri dan berdikari, majoriti memilih wanita berambut hitam atau gelap.
"Ramai yang percayakan wanita berambut perang lebih seronok dan menjadi pilihan mereka yang mencari teman wanita. Malangnya apabila berkahwin, lelaki mempunyai selera berbeza apabila lebih memilih si rambut hitam yang disifatkan memenuhi kriteria calon isteri," kata Collinge.
"Hasil tinjauan ini sememangnya mengejutkan kerana kita tidak pernah menyangka debat wanita berambut perang dan berambut hitam masih wujud. Saya sendiri beranggapan lelaki zaman ini jauh lebih moden. Nampaknya saya sendiri menjadi golongan minoriti kerana isteri saya berambut perang," katanya.
Namun, kalangan pengkritik berpendapat sebaliknya kerana bagi mereka warna rambut boleh diubah, tetapi ciri peribadi yang sebenar akan terserlah tanpa mengira warna rambut seseorang. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan