
LONDON: Sekumpulan penyelidik mendakwa penggunaan lampu biru di dalam pejabat mampu memastikan pekerja menjadi lebih peka dan kurang mengantuk sepanjang waktu bekerja.
Responden yang didedahkan dengan penggunaan lampu biru didapati mencatatkan perkembangan memberangsangkan daripada mood lebih positif, tugasan lebih baik, kurang lesu pada sebelah petang, kemampuan memberi tumpuan lebih tajam dan mengurangkan rasa sakit pada mata.
Penyelidik Pusat Kajian Tidur Universiti Surrey mendakwa, tindakan itu jauh lebih berkesan daripada amalan biasa menggunakan lampu putih ketika ini, lapor Sciencedaily.
Lebih menarik lagi, pekerja yang diuji juga menyatakan keadaan tidur mereka lebih nyenyak.
"Namun, lampu biru itu bukan sebarang lampu. Ia sebaliknya menggunakan lampu putih sedia ada yang dipertingkatkan dengan warna biru. Dan ia menumpukan kepada mata," kata ketua penyelidik, Profesor Derk-Jan Dijk.
"Hasil kajian ini menunjukkan betapa pentingnya penggunaan lampu dalam pejabat bagi menjana tahap produktiviti pekerja." - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan