Sabtu, 1 November 2008

Kerajaan Seharusnya Menghapuskan Subsidi 30 Sen Ke Atas Harga Bahan Api, Kata Shahrir


KUALA LUMPUR, 31 Okt - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan subsidi 30 sen ke atas harga bahan api sekiranya harga di pam turun lebih rendah daripada RM1.92 seliter.

Katanya ini adalah berasaskan trend penurunan harga minyak mentah global yang berada pada harga purata AS$76.44 setong.

Shahrir berkata subsidi itu boleh digunakan untuk projek pembangunan ekonomi yang lain untuk kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan telah membelanjakan sehingga RM16.8 bilion hanya ke atas subsidi bahan api dan RM2.5 bilion ke atas rebat bagi pemilik kenderaan dan motosikal.

Semuanya ini bermakna dari Januari hingga Disember, kita akan membelanjakan kira-kira RM19 hingga RM20 bilion," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno.

"Jika kita boleh menjimatkan sedikit wang subsidi, penjimatan itu boleh dibelanjakan untuk menangani isu pertumbuhan ekonomi," katanya.

Shahrir berkata akan sampai masanya apabila harga bahan api susut kepada RM1.92 seliter daripada RM2.70 seliter yang ditetapkan dalam Jun.

"Dan ini akan berlaku kerana seperti yang kita lihat, trend (penurunan) harga ini sedang berlaku. Jadi, untuk November ia mungkin dalam lingkungan AS$60, di bawah AS$70.

"Ini bermakna harga petrol pada tahap runcit mungkin akan kembali kepada RM1.92 jika trend itu berterusan," katanya. - bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan