Isnin, 24 November 2008

Indonesia Tetapkan 27 Okt Hari Blogger Nasional


JAKARTA, 22 Nov - Dalam usaha menggalakkan pembentukan masyarakat digital, Indonesia menetapkan 27 Okt sebagai Hari Blogger Nasional, demikian diumum Kementerian Informasi dan Komunikasi sempena Pesta Blogger 2008 di sini, Sabtu.

Ketua Pengarah Aplikasi kementerian itu, Cahyana Ahmadijaya berkata blog di Indonesia kini berkembang bukan sahaja untuk suka-suka tetapi juga menjadi sarana promosi yang baik untuk pengusaha dan akan terus berkembang merangkumi aspek sosial lain.

Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia pula mahu blogger turut membantu mempromosi pelancongan Indonesia kerana percaya kegiatan harian manusia sekarang tidak lepas daripada internet.

"Pesta blogger kedua ini akan mempercepat jaringan di internet sehingga blog akan menjadi media promosi pelancongan Indonesia yang berkesan," kata Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Jero Wacik dalam ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah Pengembangan Destinasi Pelancongannya, Firmansyah Rahim.

Menteri Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Kusmayanto Kadiman pula menjamin pemerintah akan memberi kebebasan kepada rakyat untuk membuat blog namun mestilah mematuhi peraturan.

Blog menjadi pelengkap sumber maklumat dan bukanlah pembunuh media massa yang ada, katanya.

Menurut penganjur pesta sehari itu, kira-kira 1,000 orang yang hadir berkesempatan belajar membuat dan menulis blog, blog fotografi dan beberapa perbincangan termasuk mengenai blog sosio-politik dengan penulis blog dari Malaysia Jeff Ooi yang juga Anggota Parlimen Jelutong dan dari Singapura Mr Brown. - bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan