Isnin, 3 November 2008

Henti Guna Pek Terapi Haba Panas Sejuk


KUALA LUMPUR, 1 Nov - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai menghentikan segera penggunaan pek terapi haba sejuk/panas keluaran syarikat SURGIPACK dan OSIM kerana bimbang penggunaannya boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan.

Menurut Biro Peralatan Perubatan KKM dalam satu kenyataan, Pek terapi itu didapati menggunakan bahan 'ethylene glycol' iaitu bahan anti-beku yang bertoksik, sekiranya tertelan boleh mengakibatkan keracunan pada sistem saraf tunjang, kardiopulmuonari dan berakhir dengan kegagalan sistem renal.
KKM baru-baru ini telah dimaklumkan Health Sciences Authority (HSA) Singapura mengenai beberapa peranti perubatan jenama 'hot/cold pack' yang terdapat di pasaran negara itu mengandungi bahan ethylene glycol.

HSA menjadualkan 10 jenis pek terapi panas/sejuk yang dikuatiri menggunakan ethylene glycol dijual di negara itu.

Produk terbabit ialah Surgipack Soft Hot/Cold Pack Large, Surgipack Soft Hot/Cold Pack Small, Soft R&R Cold-Hot Pack - M, Soft R&R Cold-Hot Pack - L, OSIM uBaby Fever Band, OSIM Shoulder PAd, OSIM uKids Fever Band, OSIM Face Mask, OSIM Eye Mask dan OSIM Hot/Cold Compress.


Biro itu berkata, pengguna perlu menghubungi pengedar produk terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya jika ingin terus menggunakan pek berkenaan.

Biro itu telah mengarahkan pekilang dan pengedar pek berkenaan menarik balik produk itu dari pasaran.

"Hot/Cold Pack adalah selamat sekiranya ia digunakan seperti yang dimaksudkan iaitu sebagai alat tuam luaran dan selagi pengguna tidak terdedah kepada kandungannya.

"Bagaimanapun, pek plastik ini mungkin bocor akibat 'wear and tear' dan ini mungkin mengakibatkan pengguna tertelan atau bersentuhan dengan kandungannya," katanya. - bernama

1 ulasan: