
Tinjauan dapati wanita saiz besar lebih kerap berasmara
OREGON: Wanita yang terlebih berat badan dan mengalami kegemukan melakukan hubungan seksual lebih kerap berbanding mereka yang berbadan kurus, kata satu kajian baru.
Ia berdasarkan data lebih 7,000 wanita yang dikumpul dalam Tinjauan Pertumbuhan Keluarga Nasional 2002.
Analisis baru itu melihat kaitan antara hubungan seks dan indeks jisim tubuh serta orientasi seksual, usia ketika pertama kali berjimak, bilangan pasangan dan kekerapan melakukan hubungan seks.
Keputusan itu dilihat bertentangan dengan anggapan umum bahawa wanita yang terlebih berat badan dan mengalami masalah kegemukan kurang melakukan hubungan seks. Penyelidik berkata, anggapan itu tidak benar kerana sebaliknya yang berlaku.
Penyelidik mengesyaki gambaran itu bermaksud wanita yang terlebih berat badan mendapat mesej berbeza berbanding wanita kurus daripada doktor berkaitan kehamilan dan pencegahan penyakit hubungan seks selain tabiat seksual mungkin berbeza.
"Sesetengah pengamal perubatan mungkin tidak melakukan pemeriksaan lanjutan wajar dengan wanita yang terlebih berat badan; mereka mungkin menganggap mereka tidak mengadakan hubungan seks kecuali diberitahu sebaliknya," kata Profesor Marie Harvey dari Universiti Oregon, pakar dalam isu kesihatan reproduktif dan seksual wanita.
"Analisis kami menunjukkan bahawa wanita yang gemuk dan lebih berat badan tidak banyak bezanya dibandingkan kelakuan seksual wanita yang mempunyai berat normal," kata rakan Harvey, Bliss Kaneshiro, Profesor Madya Sekolah Perubatan Universiti Hawaii.
"Hasil kajian ini menunjukkan semua wanita berhak menerima kaunseling sewajarnya berhubung kehamilan tidak dirancang dan pencegahan penyakit kelamin STD, tidak kira indeks jisim tubuh." - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan