Selasa, 11 November 2008

Bangkai tikus 16 tahun diklon


GAMBAR makmal penyelidikan sains di pusat penyelidikan Riken, Kobe, menunjukkan klon anak tikus.


Pengkritik bimbang usaha hidupkan haiwan purba mungkin dilakukan

LONDON: Sekumpulan saintis Jepun berjaya mengklon seekor tikus yang sudah mati dan dibekukan selama 16 tahun, pengklonan pertama seumpamanya yang membangkitkan kemungkinan menghidupkan haiwan zaman batu yang pupus.

Kalangan pengkritik usaha pengklonan, bagaimanapun, menyifatkan kajian itu sebagai membimbangkan kerana membolehkan manusia semakin menghampiri usaha menghidupkan haiwan purba.

Malah, ia boleh mencetuskan industri baru yang menyaksikan individu membenarkan mayat mereka dibekukan dengan harapan ia dapat diklon pada satu masa nanti.

Ini boleh memujuk ramai supaya melakukan proses yang menyaksikan mereka mampu dihidupkan semula, lengkap dengan daya ingatan, biarpun diklonkan dalam tubuh orang lain.

Kali terakhir usaha pengklonan itu mengejutkan dunia berlaku lebih 11 tahun lalu selepas saintis Britain mengklonkan kambing biri-biri yang diberi nama 'Dolly.'
Biarpun saintis mengklon banyak jenis haiwan, ia lazimnya menggunakan bahan daripada sel tunggal dan masih hidup.

Ini disebabkan kristal ais merosakkan DNA dalam sel yang dibekukan, menjadikan ia tidak boleh digunakan sama sekali.

Namun, saintis Jepun diketuai Dr Teruhiko Wakayama dan rakannya dari Pusat Pembangunan Biologi di Kobe itu dipercayai menggunakan sel otak yang mengandungi lemak tinggi bagi melindungi tengkorak kepala tikus berkenaan.

Mereka menggunakan sel otak tikus jantan yang disimpan dalam peti sejuk beku selama 16 tahun. Setiap sel nukleus itu kemudian disuntik ke dalam sel telur tikus betina.
Apabila sel itu dicetus dengan kuasa elektrik, ia mulai bercambah dan hidup seperti janin biasa yang baru melalui proses persenyawaan.

Selepas beberapa hari, klon embrio itu dimasukkan ke dalam tikus tumpang dan tiga minggu kemudian, anak tikus klon itu dilahirkan.

"Anak tikus itu tidak menunjukkan sebarang kecacatan dan hidup seperti biasa," kata penyelidik Jepun itu dalam rencana disiarkan jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences, semalam. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan