Khamis, 20 November 2008

Bahaya mahu kekal cantik

Wanita asyik takut wajah kedut, ambil suntikan Botox

LONDON: Wanita yang terlalu menitik beratkan imej diberi amaran mengenai bahaya 'wrinklerexia', selepas doktor melaporkan peningkatan bilangan pesakit yang semakin bergantung kepada Botox.

Sebuah klinik pembedahan kosmetik terkemuka Britain mendakwa terlalu ramai pesakit kini semakin ghairah dengan idea wajah tidak berkedut.

Amaran dikeluarkan berikutan laporan dari Amerika Syarikat yang menunjukkan wanita semakin bergantung kepada Botox untuk menegangkan wajah mereka.

Menderita akibat apa yang digelar 'wrinklerexia', sebahagian pengguna suntikan antipenuaan itu sudah terlalu asyik dengan imej bebas kedut sehingga mereka mula melihat garisan halus yang sebenarnya tiada dan kembali mendapatkan suntikan Botox untuk menegangkan semula wajah.


Kumpulan Perubatan Harley, klinik pembedahan kosmetik terbesar Britain, berkata pakar bedahnya cuba mengekang penggunaan produk antipenuaan itu dengan mencadangkan dos Botox lebih kecil malah sehingga ke tahap menolak pesakit yang mahukan suntikan yang sebenarnya tidak diperlukan.

Pengarah rangkaian pembedahan kosmetik persendirian, Liz Dale, berkata: "Digunakan secara sempurna, Botox adalah rawatan pembedahan kosmetik mengagumkan yang memberikan kulit lebih licin, tegang dan muda. Namun seperti prosedur lain, wanita amat dinasihatkan supaya tidak menggunakan ia lebih dari yang perlu.

"Di Kumpulan Perubatan Harley, semua rawatan Botox diawasi doktor terlatih khas yang akan melihat petanda 'tabiat' Botox' dan akan menasihatkan pesakit menurut keperluan individu mereka." - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan