
LAT menunjukkan koleksi setem khas dan sampul surat hari pertama tema Kampung Boy.
KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengeluarkan 1.1 juta setem dan sampul surat hari pertama bertemakan kartun Kampung Boy sempena Minggu Setem 2008 yang akan diadakan di Berjaya Times Square bermula 1 hingga 7 Disember ini.
Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat, berkata Minggu Setem adalah acara tahunan yang diadakan Pos Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan terutama pengumpul setem di samping mempromosikan hobi itu kepada orang ramai.
"Kami harap melalui program Minggu Setem ini hobi mengumpul setem dapat dipupuk khususnya di kalangan golongan muda yang kian melupakan aktiviti ini, walhal ia hobi yang dahulunya sangat popular di kalangan pelajar sekolah.
"Sebolehnya kita mahu hobi ini dihidupkan kembali melalui pembabitan anak muda kerana ia hobi sangat menarik dan boleh menjadi simpanan bernilai pemiliknya.
"Pada Minggu Setem kali ini orang ramai boleh mendapatkan pelbagai jenis setem unik dan eksklusif untuk menambah koleksi mereka selain berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti menarik disediakan.
"Kami juga berharap pengumpul setem dan peminat Lat menggunakan peluang ini untuk mendapatkan setem keluaran terbaru kami sebagai koleksi istimewa mereka memandangkan ia hasil karya pelukis terkenal yang menampilkan pelbagai sisi kehidupan masyarakat Malaysia," katanya pada pelancaran setem itu di sini, semalam.
Kartunis, Datuk Mohamed Nor Khalid atau Lat, berkata, beliau berbangga kerana sejak membabitkan diri dalam bidang ini ia kali pertama tema kartun hasil lukisannya diangkat ke dalam bentuk setem.
"Di negara lain seperti Indonesia dan Thailand, mereka sudah lama menggunakan tema kartun dalam setem dan saya kira ini peluang untuk saya menyampaikan tanda terima kasih kepada masyarakat dan peminat yang menyokong karya saya selama ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Syed Faisal Albar, berkata pihaknya memilih tema kartun sebagai tanda penghargaan terhadap kartunis negara, Lat yang popular melalui buku dan siri kartun Kampung Boy selain bertujuan memberi kelainan terhadap tema setem yang sudah dikeluarkan sebelum ini.
"Nama Lat sangat sinonim dengan masyarakat negara ini bukan hanya golongan kanak-kanak, malah semua lapisan umur menyukai hasil karya beliau, jadi kami berbangga dapat mengangkat martabat dunia kartun negara ke peringkat lebih tinggi.
"Setem juga menjadi alat untuk merakamkan fakta dan memori sesebuah negara untuk diperkenalkan kepada masyarakat lain yang kurang mengenali budaya kita," katanya.
Untuk keluaran kali ini Pos Malaysia menyediakan Setem 50sen (sebaris empat) dengan reka bentuk 'Lat Budak Kampung, 'Permainan Anak Kampung', 'Guru Sekolah yang Garang' dan 'Budak Bandar' dan boleh didapati dengan harga RM10, lembaran mini (cetakan warna perak) reka bentuk 'Kehidupan Seharian di Malaysia berharga RM5, manakala buku setem dan folder masing-masing berharga RM3 dan RM5.50
Maklumat lanjut diperoleh dengan melayari laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my atau mengunjungi Pejabat Pos seluruh Malaysia.- bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan