Jumaat, 17 Oktober 2008

USM hasil kamera imej wajah tepat

Dr. Zainol Ahmad Rajion (kiri) dan Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulkepli Majid menunjukkan MyCast yang pertama dicipta di Malaysia untuk mengukur sesuatu objek seperti kerangka manusia dengan tepat pada sidang media di USM, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 16 Okt. - Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan kamera perubatan pertama di negara ini yang mampu mendapatkan imej wajah manusia secara tepat.

Reka cipta peralatan itu dihasilkan oleh seorang pensyarah di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Dr. Zainul Ahmad Rajion setelah menjalankan penyelidikan sejak empat tahun lepas.


Menurut Dr. Zainul Ahmad, beliau menghasilkan dua produk bermutu tinggi iaitu MyCranio dan MyCast yang berfungsi untuk mengaplikasikan sistem kamera fotogemetrik dalam pengimejan perubatan.

''Ia bakal memberi manfaat besar dalam bidang perubatan negara khususnya untuk kaedah klinikal dan pembedahan kerana mampu mendapatkan gambaran wajah asal manusia dengan tepat.

''Selain itu, ia mampu menghasilkan imej wajah manusia berkualiti tinggi menggunakan teknik terkini dalam bidang teknologi. Pengukuran dalam mana-mana analisis juga mampu diterima secara tepat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan kaedah itu lebih pantas berbanding kaedah lama kerana gambar-gambar subjek kini mampu diambil dalam masa dua atau tiga saat sahaja.

Katanya, sebelum ini, gambar yang diambil menggunakan laser mengambil masa kira-kira 19 saat, manakala secara manual kira-kira 20 minit.

''Penggunaan MyCranio dan MyCast menggunakan struktur kamera stereo yang merupakan gabungan antara dua kamera dan mudah dibawa ke mana sahaja.

''Cara menggunakannya pula dengan hanya mengambil data imej dan dianalisis dengan menggunakan perisian. Apa yang lebih menarik, penggunaannya mesra pengguna dan boleh mendapat ukuran yang lebih jitu," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, produk yang dihasilkan itu merangkumi pelbagai kepakaran seperti kejuruteraan, kedoktoran dan sains komputer melibatkan kos sebanyak RM32,380 bagi MyCranio dan MyCast sebanyak RM30,500.

Tambah beliau, produk-produk tersebut kini digunakan di Hospital USM (HUSM) sejak empat bulan lalu dan dijangka akan dikomersialkan pada awal tahun hadapan. - utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan