
PULAU PINANG, 23 Okt - Universiti Sains Malaysia (USM) menemui bahawa herba yang diperolehi daripada pokok kaduk atau nama saintifiknya piper sarmentosum yang tumbuh meliar di hutan boleh dijadikan bahan untuk mengatasi kegemukan.
Kajian yang dijalankan USM sejak 2005, mendapati herba daripada pokok kaduk boleh mengawal saluran darah di dalam badan manusia daripada membesar dengan pantas, kata profesor bidang farmaseutikal kimia, Prof Zhari Ismail.
"Jika terdapat cara untuk mengawal saluran darah daripada membesar dengan pantas, maka akan berkurangan tisu lemak terbentuk dalam badan manusia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau memperkenalkan bahan yang diperolehi daripada pokok kaduk yang dinamakan sebagai Nobesiti.
Daun kaduk tidak asing bagi generasi tua di negara ini, terutama yang tinggal di kampung. Mereka antara lain menjadikan daun kaduk sebagai ulam yang dimakan bersama nasi.
Zhari berkata produk yang mereka hasilkan telah diuji dan didapati tidak mempunyai toksik.
"Ia mempunyai beberapa kelebihan berbanding produk lain di pasaran," katanya.
Zhari berkata pihaknya berhasrat untuk memasarkan produk tersebut ke seluruh dunia, yang ramai populasi penduduk dunia menghadapi masalah kegemukan.
"Kita menunggu pihak pelabur atau pengeluar untuk memasarkan produk ini ke pasaran dunia," katanya. - bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan