
SINGAPURA, 21 Okt - Penyakit berkaitan dengan "gaya hidup" khususnya kanser, penyakit koronari jantung dan serangan angin ahmar merupakan punca utama bagi lebih 60 peratus kesemua kematian yang dilaporkan di Singapura.
Menteri Kesihatan Khaw Boon Wan berkata punca tersebut telah menjadi trend sejak 20 tahun lepas berbanding penyakit berjangkit yang menjadi pembunuh utama 40 tahun lepas.
"Ini merupakan 'penyakit gaya hidup' kerana ia sering disebabkan gaya hidup moden dan ia turut diperhatikan di negara maju yang lain," kata Khaw dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa.
Jawapannya dikeluarkan kepada media di sini.
Di samping mengakibatkan kematian, katanya penyakit seperti itu juga menjadi punca utama morbiditi atau tidak sihat.
"Bersama penyakit kencing manis dan sakit jiwa, lima penyakit ini merupakan lebih 70 peratus bebanan penyakit, menyumbang kepada kebanyakan pesakit kami di klinik dan hospital," katanya.
Khaw berkata kerajaan akan menggunakan pakai strategi pencegahan bagi mengawal penyakit tersebut dengan meminta rakyatnya mengamal gaya hidup sihat serta mengurus penyakit kronik bagi mengelak komplikasi pada masa depan.
Katanya proses populasi menjadi tua yang berterusan di Singapura hanya akan memburukkan masalah itu.
Khaw berkata kira-kira S$100 juta (RM238.5 juta) telah diperuntukkan kepada Lembaga Penggalakkan Kesihatan tahun ini bagi program pendidikan kesihatan awam serta program pengurusan penyakit secara sistematik menerusi klinik dan hospital.
"Jumlah perbelanjaan ini berbaloi jika kita dapat lebih ramai rakyat Singapura mengamalkan gaya hidup sihat -- kurang makan, lebih bersenam dan tidak merokok," katanya.
Katanya kerajaan telah mencapai sedikit kejayaan dalam aspek lain seperti kadar merokok pada tahap 14 peratus dan kadar obesiti pada tujuh peratus iaitu merupakan antara peratusan terendah dalam dunia.
Bagaimanapun, katanya masih banyak langkah perlukan dilaksanakan berikutan satu dalam tujuh rakyat Singapura masih merokok, satu daripada tiga warganya perlu mengurangkan berat badan dan tiga dari empat orang tidak bersenam secara konsisten. - bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan