
CAMBRIDGE - Pakar teori alam semesta, Stephen Hawking (gambar atas) akan bersara daripada jawatannya di Universiti Cambridge pada tahun depan namun beliau mahu meneruskan penerokaan masa dan angkasa.
Hawking, 66, kini memegang jawatan Kursi Profesor Matematik Lucasian yang pernah disandang ahli fizik terkenal, Isaac Newton pada kurun ke-18.
Pihak pengurusan universiti berprestij itu semalam menyatakan Hawking akan berundur menjelang tamatnya tahun akademik pada September depan tetapi akan terus menduduki kursi tersebut.
"Kami mahu beliau meneruskan kerja-kerja di Jabatan Matematik Gunaan dan Fizik Teori terutama dalam penyelidikan angkasa dan graviti," kata ketua jabatannya, Profesor Peter Haynes.
Hawking terkenal menerusi sejumlah teori mengenai lohong hitam dan hakikat masa yang telah dilakukannya sejak beberapa lama walaupun berada di dalam keadaan lumpuh akibat penyakit saraf motor.
Dasar Universiti Cambridge menetapkan ahli akademik perlu bersara pada akhir tahun akademik apabila individu berkenaan mencecah umur 67 tahun.
Hawking yang mencapai umur 67 tahun pada 8 Januari ini memegang kursi tersebut sejak 1979.
Beliau turut menerbitkan sejumlah buku termasuk A Brief History of Time dan George's Secret Key to the Universe. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan