WASHINGTON: Kajian penyelidik Amerika mendapati lelaki lebih tergoda kepada wanita berpakaian merah.
Kajian Profesor Psikologi Universiti Rochester di New York, Andrew Elliot, mendapati lelaki lebih tertarik kepada gambar wanita berpakaian merah atau gambar dalam bingkai merah.
Kajian itu sekali gus mengesahkan merah sebagai warna percintaan seperti dipercayai pembuat kad Hari Kekasih dan penjual gincu sejak bertahun lalu.
Elliot berkata, walaupun tanggapan itu berasal daripada hubungan masyarakat dengan warna sejak berzaman, ia mungkin turut wujud hasil faktor biologi.
Beliau berkata, saintis menunjukkan haiwan jantan lebih tertarik kepada haiwan betina yang menunjukkan warna merah seperti monyet atau babun betina menunjukkan warna merah ketika musim mengawan.
"Ia boleh jadi sangat mendalam, kecenderungan automatik biologi yang berasaskan tindak balas terhadap merah sebagai satu tarikan isyarat khas dalam warisan evolusi," kata beliau yang menyiarkan penemuannya dalam Jurnal Personaliti dan Psikologi Sosial.
Kajian itu membabitkan lebih 100 lelaki kebanyakannya pelajar kolej yang ditunjukkan gambar wanita untuk kecantikannya serta sejauh mana lelaki mahu mencium dan mengadakan seks dengan wanita itu.
Kajian turut menggunakan responden wanita tetapi warna tidak memberi kesan kepada mereka yang sama jantina. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan