KUALA LUMPUR - Keluarga Muhamad Asmawi Jalaludin, 11, kanak-kanak yang hilang 9 Mac (2008) lepas, kini tidak lagi bergantung harap kepada polis sebaliknya lebih selesa berikhtiar sendiri demi memastikan usaha mencari Asmawi tidak terhenti.
"Sekarang ni polis sudah langsung tidak mejenguk keluarga kami walaupun sekadar untuk bertanya khabar,'' kata ibu Asmawi, Rozita Mat Hassan, 50, ketika ditemui di rumahnya semalam.
Rozita sentiasa berusaha mencari anaknya itu termasuk mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional walaupun terpaksa berkorban wang ringgit.
Asmawi atau lebih mesra dipanggil "Awie" dilapor hilang dari taman permainan berhampiran rumahnya di Pantai Dalam.
"Anak makcik sampai sudah naik marah sebab tak henti-henti jumpa dukun cari Awie. Tapi nak buat macam mana, makcik ni mak yang melahirkan. Makcik yang rasa pedih anak hilang tanpa berita macam ni,'' katanya.
Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, beliau berharap anaknya dapat pulang dalam keadaan selamat kerana ada maklumat menyatakan Awie masih hidup dan berada di Kuala Lumpur.
"Pulangkanlah Awie kepada kami. Dia budak baik dan tidak berdosa kepada sesiapa. Hanya Tuhan sahaja yang boleh balas jasa baik anda yang memulangkannya kepada kami,'' katanya. - Kosmo!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan