Selasa, 2 September 2008

Minum kopi boleh kurang risiko kanser

TOKYO 1 Sept. - Wanita yang minum banyak kopi setiap hari didapati mempunyai risiko yang rendah diserang penyakit kanser uterus.

Penemuan itu adalah berdasarkan hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Jepun ke atas seramai 54,000 orang wanita yang berumur dari 40 hingga 69 tahun selama tempoh 15 tahun dengan 117 daripada mereka menghidap kanser rahim.

Penyelidik dari Pusat Kanser Kebangsaan Jepun itu telah membahagikan mereka kepada empat kumpulan mengikut jumlah kopi yang mereka minum setiap hari.

Mereka mendapati wanita yang minum tiga cawan kopi setiap hari mengalami risiko kurang 60 peratus diserang penyakit kanser, berbanding mereka yang mengambil dua kali minuman itu dalam tempoh seminggu.


"Ini mungkin disebabkan kopi mempunyai kesan boleh mengurangkan paras insulin yang dipercayai boleh menyebabkan risiko berlakunya kanser pada rahim," kata hasil kajian itu.

Mereka juga menjalankan penyelidikan kesan minuman teh hijau, namun minuman itu didapati tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kanser uterus. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan