KUWAIT: Ramadan lazimnya turut memberi kesempatan bagi umat Islam menguruskan badan, tetapi satu kajian terbaru mendakwa keadaan sebaliknya berlaku di negara Teluk apabila berat badan sebahagian besar penduduk meningkat mendadak.
Akhbar Kuwait Times memetik Presiden Pertubuhan Kesihatan Obesiti Kuwait yang juga pakar perubatan, Dr Youssef Abu Abbas sebagai berkata, kajian yang dilakukan membuktikan kebanyakan penduduk menambah berat badan lebih empat kilogram.
Namun, kajian di negara Islam Afrika Utara serta di Turki pula menunjukkan keputusan berbeza dengan kebanyakan penduduknya yang berpuasa kehilangan berat badan tiga hingga lima kilogram sepanjang Ramadan.
Dr Abu Abbas mengaitkan fenomena itu kepada kurangnya pengetahuan mengenai makanan berzat di beberapa negara, khususnya di negara Teluk.
Faktor lain disebabkan penduduk negara Arab bergantung sepenuhnya kepada makanan berasaskan karbohidrat seperti nasi serta pencuci mulut yang manis, termasuk 'halwa' yang menjadi kegemaran ramai setiap kali tibanya Ramadan.
Pada masa sama, kebanyakan mereka juga jarang melakukan senaman.
"Tidak kurang juga ramai yang suka menyambung tidur selepas selesai makan sahur. Ini satu amalan yang tidak baik dan harus dielak sama sekali. Selain itu ramai yang tidak suka bersenam ketika Ramadan," katanya.
Berikutan itu, Dr Abu Abbas mengesyorkan umat Islam supaya terus bersenam bagi mengimbangi pengambilan makanan serta mengelak pertambahan berat badan.
"Lebih banyak perhatian perlu diberi kepada kualiti dan jumlah makanan dengan keutamaan kepada sayur-sayuran dan buah-buahan. Kita juga boleh meminum teh hijau setiap kali selepas makan."
Di Riyadh, penduduk Arab Saudi terpaksa menyediakan peruntukan lebih untuk berbuka puasa di hotel Ramadan ini berikutan tindakan pemilik hotel menaikkan harga bufet bagi mengimbangi peningkatan harga makanan.
Pembantu pengurus jualan dan pemasaran di Hotel Sheraton di Riyadh, Waleed Haidar, berkata bufet berbuka puasa di hotel berkenaan ditawarkan pada harga 155 riyal (RM140) tahun ini, kenaikan sebanyak 15 peratus berbanding tahun lalu.
"Kami tidak boleh menutup mata dengan peningkatan harga makanan global," katanya.
Malah, semua harga makanan meningkat sekitar 30 peratus pada 2008 disebabkan kekurangan bekalan, kenaikan harga minyak dan kelemahan mata wang Amerika Syarikat.
Bidang perniagaan yang menyediakan makanan mengambil kesempatan dengan kedatangan Ramadan ketika penduduk negara itu mencari juadah untuk berbuka puasa, termasuk membeli makanan untuk dibawa pulang atau keluar untuk menikmati teh.
"Kami bergantung kepada Ramadan sebagai musim dinamik untuk memperoleh ganti rugi bagi sebarang kejatuhan dalam keuntungan sepanjang tahun," kata Haidar. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan