LONDON: Krim antikedut dihasilkan dengan meniru cara bisa ular Asia mematikan sel kulit kini paling laris dijual, lapor akhbar The Telegraph.
Pembuat pelembap Planet Skincare berkata, ia menjadikan kulit ‘kaku’ seperti terkena patukan ular, yang membantu mengekalkan kelicinan wajah.
Aktres Gwyneth Paltrow dilaporkan antara pelanggan setia krim berkenaan.
Disifatkan sebagai memberikan hasil ‘seperti botox’, krim antipenuaan berharga AS$100 (RM310) itu mula dijual minggu lalu di Selfridges. Ia dikatakan dijual pada kadar 50 kotak sehari, menjadi antara produk penjagaan kulit paling popular di pusat beli belah sekitar London.
Krim berkenaan menggabungkan versi sintetik racun ular kapak, yang disifatkan sebagai saudara jauh ular orok-orok yang banyak ditemui di Malaysia. Asid Amino dalam bisa menghalang isyarat saraf daripada memberitahu otot supaya mengecut, dan membantu menghalang pembentukan kedut.
Bahan aktif itu memenangi Anugerah Teknologi Swiss pada 2006.
Pengarah Perubatan Klinik Kulit Perubatan Harley Streer di London, Aamer Khan, berkata: “Ini mungkin berkesan pada mereka yang tidak mahu mengambil suntikan. Kesannya tidak begitu dramatik seperti botox. Ia juga perlu disapu selalu kerana tubuh dapat menyingkirkan krim itu dengan segera.”
Pakar farmakologi di Universiti Liverpool, Dominic Willimas, pula berkata: “Produk ini mungkin ada kesannya tetapi perlu digunakan dengan kerap.”
Pelembap itu, bagaimanapun bukan kali pertama membabitkan penggunaan bisa ular sebagai rawatan kecantikan. Lip Venom adalah pelembap bibir menggunakan bisa dan dikatakan dapat menebalkan bibir. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan