Rabu, 10 September 2008

Kadar sewa pejabat di Singapura mahal

SINGAPURA: Harga sewa ruang pejabat di Singapura dilaporkan ketiga termahal di Asia selepas Hong Kong (1st.) dan Tokyo (2nd.) dengan sewaan kasar bagi ruang pejabat kelas A dicatatkan mencecah AS$125 (RM432) sekaki persegi bagi tempoh setahun.

Laporan pertengahan tahun Colliers International mendedahkan, sewa ruang pejabat di Singapura juga adalah yang ketujuh paling mahal di dunia, lapor Berita Harian semalam.

Harga sewa ruang pejabat termahal di rantau ini adalah di Hong Kong dengan nilai AS$213 (RM737) sekaki persegi setahun sekali gus menjadikan ia sebagai paling mahal di dunia, manakala Tokyo mencatatkan nilai sewa AS$129 (RM446) sekaki persegi bagi tempoh yang sama.

Sewaan ruang pejabat kedua termahal di dunia adalah di London West End, Britain iaitu AS$207 (RM715) bagi setiap sekaki persegi setahun.


Pengarah Kajian dan Nasihat, Colliers International, Tay Huey Ying, berkata harga sewa ruang pejabat yang tinggi di Singapura disokong status negara ini sebagai pusat kewangan.

Laporan tahunan oleh Colliers International itu merangkumi pasaran hartanah ruang pejabat bagi enam bulan pertama tahun ini.

Pelaburan dalam bangunan pejabat Singapura meningkat 58 peratus bagi enam bulan pertama tahun ini, walaupun trend global mencatat kemerosotan akibat masalah kredit dan kelemahan ekonomi global.

Jumlah pelaburan dalam bangunan pejabat di dunia merosot 60 peratus bagi enam bulan pertama tahun ini, kepada AS$108 bilion dari AS$286.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Asia Pasifik bagaimanapun menunjukkan prestasi lebih baik berbanding Amerika dan Eropah dengan pelaburan dalam bangunan pejabat di Jepun meningkat lebih sekali ganda dan Hong Kong mencatat kenaikan 86 peratus. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan