Isnin, 15 September 2008

Fatwa bunuh dijelas

RIYADH - Seorang ulama kanan dan hakim Arab Saudi semalam cuba menenangkan keadaan berhubung kontroversi fatwa yang membenarkan pemilik-pemilik stesen televisyen dibunuh kerana menyiarkan program berunsur lucah.

Menurut ulama itu, Sheikh Saleh al-Luhaidan, jika hukuman ringan masih tidak dapat menghalang pemilik rangkaian televisyen itu daripada menyiarkan program sedemikian, mereka sepatutnya dirujuk kepada keadilan yang mengeluarkan keputusan berdasarkan undang-undang.

Beliau menyatakan demikian kepada sebuah stesen televisyen.

"Pemilik-pemilik itu mungkin boleh dihukum bunuh menerusi (keputusan) kehakiman," katanya.

Sheikh Saleh yang mengetuai majlis ulama tertinggi di Arab Saudi mencetuskan kontroversi pada minggu lalu apabila beliau menyatakan adalah tidak menjadi kesalahan untuk membunuh pemilik-pemilik stesen televisyen yang menyiarkan program tidak bermoral.


Komen beliau merupakan susulan kepada fatwa Mufti Besar Arab Saudi yang menerangkan bahawa sebuah program drama popular di negara itu didapati tidak bercirikan Islam.

Sheikh Saleh mengaku bahawa kenyataan sebelum ini mencetuskan bantahan tetapi menenteramkan situasi dengan menyatakan terdapat tafsiran silap berhubung pandangannya itu. - AFP

1 ulasan: