Isnin, 15 September 2008

Aidilfitri dijangka hujan lebat, ribut petir

KUALA LUMPUR: Perayaan Aidilfitri tahun ini diramal pada musim pertukaran monsun yang akan mengakibatkan umat Islam menyambutnya dalam keadaan hujan lebat dan ribut petir di beberapa kawasan khususnya di Pantai Barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Jurucakap Jabatan Meteorologi (JMM), berkata bermula pertengahan September, seluruh negara akan mengalami tempoh monsun peralihan iaitu keadaan angin yang lemah dan pelbagai hala dengan kelajuan angin tidak melebihi 10 knot (20 kilometer per jam).

Katanya, tempoh ini menyebabkan suhu lebih lembap berbanding musim monsun barat daya yang berakhir bulan lalu dan ia menyebabkan perolakan kuat sehingga meningkatkan aktiviti ribut petir pada sebelah petang dan lewat petang.

"Kita ramalkan lebih banyak hujan pada monsun peralihan kali ini di seluruh negara berbanding Jun dan Julai lalu khususnya Pantai Barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang diramal mengalami ribut petir.

"Ia akan membawa bersama hujan lebat dan tiupan angin kuat tetapi beberapa kawasan lain seperti di Pantai Timur Semenanjung hanya akan mengalaminya di beberapa tempat pada sebelah petang dan malam," katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Ketika ditanya risiko berlakunya banjir, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berlaku khususnya di sekitar Pantai Barat yang diramal menerima hujan lebat selama tiga jam atau lebih, namun ia hanya terjadi sekiranya wujud faktor luar lain seperti sistem pengairan.

"Kita nasihatkan umat Islam yang ingin mengunjungi ahli keluarga bagi menyambut perayaan Aidilfitri melakukannya pada waktu pagi kerana cuaca di seluruh negara diramal cerah ketika itu," katanya. - bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan