Sabtu, 30 Ogos 2008

Wanita suka intip SMS

Kajian dapati 73 peratus putus hubungan selepas baca pesanan

SYDNEY: Seseorang yang suka memeriksa mesej teks pasangannya bukan bersendirian dalam melakukan perkara itu kerana tinjauan di Australia menunjukkan satu dalam tiga pengguna telefon bimbit adalah pengintip khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan hasilnya selalunya memilukan.

Tinjauan secara online itu, yang dilakukan bagi pihak pembekal perkhidmatan telekom, Virgin Mobile Australia, menunjukkan wanita lebih berkemungkinan memeriksa telefon pasangan mereka secara rahsia berbanding lelaki.

Ia juga mendedahkan 73 peratus pengintip SMS itu menemui perkara yang mereka berharap tidak diketahui dan 10 peratus memutuskan hubungan disebabkan pengintipan SMS.

"Dalam masyarakat yang menyaksikan kita jarang membiarkan telefon bimbit terlepas daripada pandangan dan agak mengagumkan apabila memikirkan seseorang akan memeriksa kita sebaik kita memasuki bilik mandi walaupun seketika," kata jurucakap Virgin Mobile, Amber Morris, dalam satu kenyataan.

Lebih 500 pengguna telefon bimbit di Australia berusia antara 18 dan 29 tahun ditanya pendapat mereka oleh firma pasaran penyelidikan Julai lalu.

Tinjauan mendapati 60 peratus mengintip mesej teks apabila pasangan mereka berada dalam bilik air, manakala lebih 41 peratus melakukan apabila mereka berada dalam bilik yang sama.

Hampir 45 peratus berkata, mereka menemui teks menggoda atau seksual, dari tidak memberi sebarang masalah kepada berbentuk grafik.

"Dengan banyak jenis komunikasi tersedia hari ini, sukar untuk mengesan di mana pasangan anda berada atau dengan siapa mereka berbual dan bila.

"Perbuatan menggoda sudah lama berlaku tetapi hakikat ia kini boleh dikesan menerusi telefon menjadikan pasangan yang bimbang sebagai pemeriksa teks paranoid," Virgin Mobile memetik penulis dan pakar hubungan, Samantha Brett, sebagai berkata.

Brett juga menasihatkan pengintip SMS supaya berhenti berbuat demikian.

"Jika anda mengesyaki pasangan anda menyembunyikan sesuatu, berbincang mengenainya. Memeriksa teks boleh menjadi sesuatu yang kejam, dan boleh dielakkan dengan mudah ," katanya. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan