Selasa, 26 Ogos 2008

Saintis hasil tembikai berperisa lemon

TEXAS: Orang ramai berpeluang menikmati tembikai berperisa lemon atau pisang berperisa strawberi apabila sekumpulan pakar biokimia dari Jabatan Perubatan Universiti Texas di Houston menegaskan akan tiba masanya saintis mampu mengubah suai enzim yang bertanggungjawab memberikan perisa pada buah dan sayur-sayuran.

Sebagai tambahan, ia juga dapat menghasilkan kawalan serangga yang mesra alam.


Profesor CS Raman dan pasukannya dari universiti berkenaan melaporkan mereka berjaya memanipulasi enzim perisa yang ditemui pada model tumbuhan popular, Arabidopsis thaliana, dengan cara genetik.

Enzim berkenaan - allene oxide synthase (AOS) dan hydroperoxide lyase (HPL) - menghasilkan jasmonate yang bertanggungjawab bagi haruman unik bunga melur dan perubahan pantas daun hijau (GLV). GLV memberikan aroma kepada buah-buahan dan sayur.


GLV dan jasmonates yang dipancarkan oleh tumbuhan juga bertindak menghalau musuh.

“Kami ingin mengingatkan bahawa tumbuhan tidak dapat lari dari kumbang dan serangga lain. Ia perlu berdepan dengan mereka. Satu perkara yang dilakukan oleh tumbuhan ialah dengan mengeluarkan bahan seperti wap ke udara untuk menarik pemangsa kumbang.

Pengubahsuaian genetik pengeluaran GLV memberikan potensi penting ke arah menghasilkan strategi kawalan serangga mesra alam. Ia juga mempunyai implikasi penting bagi memanipulasi perisa makanan,” kata Raman.

Sebagai contoh, katanya, aroma minyak zaitun dara bertunjang daripada perubahan yang dihasilkan secara sintesis oleh buah zaitun.

“Dengan mengubahsuai aktiviti enzim yang menghasilkan bahan itu, berkemungkinan kita dapat mengubah perisa minyak yang dihasilkan,” katanya.

Menurut Raman, penyelidikan mereka menunjukkan enzim boleh diubah dan lebih penting, menunjukkan maklumat diperlukan untuk mengubah suai pengeluaran GLV pada tumbuhan.

Saintis membuat imej tiga dimensi enzim berkenaan, yang membolehkan mereka menghasilkan perubahan genetik kecil tetapi terperinci, pada AOS, yang membawa kepada penghasilan HPL. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan