Rabu, 18 Jun 2008

Tiada Tindakan Jika Bilangan Penumpang Melebihi Bilangan Tali Pinggang Tempat Duduk Belakang

PUTRAJAYA, 17 Jun - Tindakan penguatkuasaan tidak akan dikenakan terhadap pemandu kenderaan jika penumpang belakang keempat dan seterusnya tidak memakai tali pinggang keledar, kata Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat.

Ini kerana, katanya setiap kenderaan hanya menyediakan tiga tali pinggang keledar bagi penumpang belakang seperti yang diwajibkan oleh kerajaan.

"Kita tetap prihatin tentang adanya kes-kes sebegini, di mana keluarga besar yang mempunyai anak ramai yang mungkin kenderaan itu sahajalah yang mereka mampu, kita pun faham juga.

"Jika dalam keadaan begini, terdapat seorang anak yang tidak memakai tali pinggang berikutan tali pinggang yang ada itu untuk tiga orang sahaja, maka seorang itu yang tidak memakai tali pinggang, kita tidak akan kenakan tindakan penguatkuasaan tetapi ini jangan dianggap sebagai tindakan untuk menggalakkan lebihan muatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) bagi program berasaskan komuniti untuk keselamatan automotif. MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh dan Pengarah Urusan Proton Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Kerajaan akan mengenakan saman kepada penumpang belakang kenderaan yang gagal memakai tali pinggang keledar mulai 1 Jan 2009, sebagai antara usaha untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.
Bagaimanapun, Ong berkata pemandu kenderaan berkenaan perlu memastikan kesemua tali pinggang keledar tempat duduk belakang yang ada digunakan sepenuhnya.
"Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu kenderaan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan