Jumaat, 27 Jun 2008

Tahap radiasi telefon bimbit palsu boleh menyebabkan pekak

KUALA LUMPUR - Lambakan telefon bimbit 'berjenama' dengan spesifikasi canggih yang sebenarnya produk palsu, sebenarnya umpama jerat yang boleh menyebabkan pembelinya mengalami cacat pendengaran.

Walaupun diketahui palsu, produk yang kebanyakannya dari China dan Korea Selatan itu dan banyak dijual dari premis dalam pusat membeli-belah hingga ke kaki lima, tetap mendapat sambutan hangat khususnya di kalangan generasi muda kerana harganya murah.

Pakar telekomunikasi dari sebuah syarikat pengeluar telefon tempatan, Azman Hadi bimbang dengan trend pembelian tersebut kerana tahap radiasi yang dikeluarkan oleh setiap telefon adalah berbeza.

"Semua telefon bimbit mempunyai gelombang elektromagnetik tetapi tahap transmisi radiasi produk tulen mendapat kelulusan kerajaan. Berlainan dengan telefon bimbit harga murah dan palsu, tiada jaminan keselamatan,'' jelasnya.
Kesannya kata Azman, pengguna tanpa disedari akan mengalami kerosakan pada dalam telinga sehinggalah gegendang mengembang dan akhirnya pecah.
Kata beliau, jika model telefon tulen mempunyai aplikasi 3G (jaringan teknologi generasi ketiga), telefon palsu yang seakan sama dengannya tidak memiliki perkhidmatan tersebut.

- Kosmo!
Oleh JUNHAIRI ALYASA
dan SUHANA YUSOP
berita@kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan