SERDANG - Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) mendakwa tindakan mengimport ayam terutama dari China dan Indonesia meletakkan negara dalam keadaan berisiko.Ini kerana kedua-dua negara berkenaan masih belum bebas sepenuhnya daripada wabak selesema burung.Pegawai Pemasaran FLFAM, Dr. Khaw Eng Sun berkata, pihaknya khuatir ayam import dibekalkan oleh China dan Indonesia bukan sahaja membuatkan industri ternakan akan gulung tikar, malah negara turut diancam wabak itu.
"Selain itu, pengguna terutamanya yang beragama Islam perlu mempunyai rasa was-was walaupun ayam tersebut disembelih mengikut prosedur yang betul.
"Bukan apa, sedangkan negara kita juga kadang-kadang timbul masalah sembelih yang tak halal, apatah lagi negara luar," katanya yang ditemui ketika seminar Persatuan Sains Ternakan Dunia (WPSA) Cawangan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Eng Sun menyarankan agar pengguna memilih untuk membeli ayam segar tempatan berbanding ayam import.
Ini kerana ayam import didatangkan dalam bentuk sejuk beku dan dibimbangi masih belum bebas sepenuhnya daripada wabak selesema burung.
Selain itu, rasa ayam import kurang enak serta berlaku perbezaan dari segi teksturnya.
- Kosmo
Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan