LONDON: Satu kajian terbaru menyenaraikan pekerja salun kecantikan dan dandanan rambut sebagai golongan pekerja paling gembira dengan tugasan mereka berbanding pekerja sektor lain.
Pekerja lain yang turut tersenarai berpuas hati dengan tugas mereka mengikut kedudukan kedua sehingga enam adalah anggota keselamatan, chef, sektor peruncitan, guru, perhubungan awam, pemasaran dan akauntan.
Malah kalangan setiausaha, penyambut tetamu, tukang paip dan arkitek juga tidak kurang gembira dengan tugas mereka.
Tinjauan di kalangan 1,000 pekerja 20 profesion berlainan oleh City & Guilds sebaliknya mendapati, kontraktor dan buruh binaan adalah golongan pekerja paling tidak berpuas hati dengan tugasan itu dan berada di kedudukan paling bawah dalam senarai berkenaan.
Senarai dikenali Indeks Kepuasan Pekerja meletakkan golongan itu mengatasi kalangan pakar bidang teknologi maklumat, pekerja perbankan dan kewangan, wartawan, mekanik, pekerja jabatan sumber manusia dan petugas di pusat panggilan.
Anehnya, tinjauan itu turut mendakwa habuan kewangan bukanlah kunci utama yang menentukan paras rasa puas hati pekerja dengan tugasan mereka.
"Sebaliknya mereka menyifatkan faktor penting lain seperti minat, keupayaan untuk menseimbangkan kehidupan dan pekerjaan serta rakan sekerja yang mesra jauh lebih penting daripada ganjaran wang," kata Pengarah Urusan City & Guilds, Bob Coates.
Tidak sampai separuh responden menyatakan mereka kekal dengan tugas itu kerana tertarik dengan bayaran gaji yang ditawarkan.
"Syarikat tidak boleh menolak kepentingan usaha memulihkan persekitaran tempat kerja yang mempengaruhi rasa puas hati pekerjanya. Ia boleh mempengaruhi agenda perniagaan syarikat dan tidak boleh diketepikan.
"Majikan juga perlu sedar yang ia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pemberian habuan kewangan semata-mata dan mengetepikan dasar yang mementingkan kebajikan pekerja itu." - Agensi
source by BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan