LONDON: Wanita diberi amaran supaya menjauhi tabiat suka mengambil minuman keras kerana ia akan merosakkan kejelitaan mereka dan perlahan-lahan menjadikan wajah mereka menyerupai lelaki.
Satu poster kempen baru yang dilancarkan semalam di sistem kereta api bawah tanah di London menunjukkan gambar seorang wanita dengan kulit kendur dan hidung bertompok-tompok. Ia membawa mesej: "Jika anda minum seperti lelaki anda mungkin menjadi seperti mereka."
Matlamat kempen adalah untuk merayu wanita menerusi keangkuhan mereka dengan menunjukkan golongan itu berisiko mengalami masalah kulit teruk, tua sebelum waktu dan pertambahan berat badan jika mereka menjadi kaki minum.
Idea kempen itu dikeluarkan oleh Perkhidmatan Dadah dan Alkohol bagi London.
Penyelidikan oleh badan kebajikan mendedahkan dua daripada lima wanita bimbang mengenai impak fizikal tabiat meminum minuman keras dan cuma satu pertiga bimbangkan kesihatan mereka.
Kerajaan sudah pun melancarkan kempen bernilai £10 juta (RM62 juta) untuk meningkatkan kesedaran mengenai amalan minum minuman keras keterlaluan, yang termasuk amaran kepada wanita muda mengenai kaitan antara alkohol dan barah payu dara.
Bagaimanapun, jurucakap kempen perkhidmatan alkohol, Harrinder Dhillon, berkata: "Wanita jelas tidak memberi reaksi kepada amaran kesihatan dan amalan minum minuman keras di kalangan wanita menjadi semakin buruk dari tahun ke tahun. Walaupun memahami bahaya kesihatan yang dikaitkan dengan tabiat itu, penyakit hati atau jantung tidak begitu berkesan. Kempen kami lebih memberi kesan kepada setiap wanita di seluruh negara."
Penyelidikan perkhidmatan itu mendapati dua daripada lima wanita berasa pertambahan berat badan akan membantu mereka dari minum terlalu banyak berbanding cuma satu pertiga yang bimbang mengenai sakit jantung.
Perangkaan rasmi menunjukkan bilangan wanita yang meninggal dunia akibat salah guna alkohol hampir dua kali ganda sejak sedekad. - Agensi & BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan