Rabu, 25 Jun 2008

Kampung Boy Kini Dalam Bahasa Jerman

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Minat masyarakat luar yang mendalam untuk mengetahui budaya dan asal usul Malaysia mendorong penerbitan buku Kampung Boy dalam edisi bahasa Jerman.

'Kampung Boy' karya Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali dengan nama Lat sebelum ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa termasuklah bahasa Jepun, Korea dan Portugis.

Lat berkata 'Kampung Boy' yang dihasilkannya 30 tahun dahulu bertujuan mengingatkan rakyat cara hidup anak kampung serta memperingati jasa ibu bapa sewaktu membesarkan anaknya walaupun dalam serba kekurangan tetapi kaya dengan budi bahasa.

"Sungguhpun tidak ada yang menakjubkan mengenai cerita ini tetapi orang ramai nampaknya meminatinya kerana aspek budaya kehidupan kampung yang dipaparkan. Mereka dari bahagian lain dunia sentiasa berminat untuk mengetahui berkaitan budaya orang lain," kata Lat kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak kerjasama penerbitan bukunya edisi bahasa Jerman di sini hari ini.

"Lukisan memangnya sangat penting. Lukisan memberitahu cerita tetapi teks menyempurnakannya kerana banyak perkara yang anda perlukan bagi menerangkan khasnya kepada orang ramai daripada berlainan latar belakang budaya," tambahnya.

Kampung Boy' kini dalam proses diterjemahkan ke bahasa Sepanyol, Belanda dan Itali.

Buku 'Kampung Boy' edisi bahasa Jerman diterbitkan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Horlemann Verlag, sebuah syarikat penerbitan di Jerman yang aktif menerbitkan pelbagai karya terpilih terbitan penerbit Asia. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan