KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihati supaya tidak menggunakan kandi kesihatan dikenali sebagai "Mentalk Candy" kerana ia didapati mengandungi aminotadalafil, sejenis ubat bagi mengatasi masalah lemah tenaga batin.Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal, Kementerian Kesihatan hari ini memberi amaran bahawa penggunaan kandi itu secara berlebihan boleh mengakibatkan sakit jantung, depresi dan kehilangan deria penglihatan.
Dalam kenyatannnya, bahagian itu berkata walaupun Tadalafil disahkan selamat bagi merawat masalah lemah tenaga batin, tetapi profil keselamatan analognya belum pernah diuji.
"Mentalk Candy, yang dipercayai digunakan bagi tujuan itu (mengatasi masalah lemah tenaga batin), boleh membawa bahaya jika digunakan disebabkan oleh kesan sampingan farmakologi analog berkenaan terhadap tubuh manusia," katanya.
Bahagian itu meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati produk itu dijual di negara ini.
Ia juga memberi amaran kepada pengeluar dan pengedar produk itu bahawa mereka boleh didakwa mengikut Akta Racun 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. - BERNAMA
source
Tiada ulasan:
Catat Ulasan