Sabtu, 21 Jun 2008

Godam komputer curi wang - Tahu nombor akaun, simpanan di bank lesap

KUALA LUMPUR – Penjenayah siber hanya memerlukan beberapa saat untuk mengeluarkan wang di dalam akaun mangsa tanpa perlu menggunakan kad mesin juruwang (ATM) atau berurusan di kaunter bank”.

Pengakuan itu dibuat oleh sumber yang berpengalaman luas dalam dunia perbankan ekoran laporan beberapa mangsa yang kehilangan duit yang disimpan di dalam bank sebaik sahaja menyerahkan nombor akaun kepada pihak lain.

Menurutnya, sindiket terbabit memang wujud dan boleh melakukan transaksi pengeluaran wang dari akaun orang lain.

Mereka beroperasi di negara jiran dan hanya perlukan nombor akaun seseorang yang biasanya diperoleh atas usaha mereka sendiri tanpa mengira apa sekali pun. Melalui nombor akaun, sindiket ini akan menggodam komputer untuk mengeluarkan wang dari akaun mangsa. Mereka hanya memerlukan beberapa saat sahaja untuk mengeluarkan wang dari akaun mangsa malah boleh melakukan banyak pengeluaran dalam tempoh sehari,” katanya ketika ditemu bual wartawan Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, kehilangan wang itu sebenarnya ada kaitan dengan kemudahan perkhidmatan skim perbankan internet yang sering digunakan oleh pemegang akaun bank sekarang ini.

Perkhidmatan yang semakin popular itu sebenarnya boleh mengundang risiko terhadap wang simpanan kerana transaksi keluar masuk wang boleh diketahui pihak lain yang menunggu peluang untuk mencari kesempatan ‘merompak’ nombor akaun tersebut.
Sumber itu memberitahu, mereka yang terlibat dalam sindiket terbabit biasanya pakar dalam bidang komputer dalam mengendalikan banyak perisian komputer termasuk mencuri fakta dan maklumat penting dari pihak bank.


Oleh ZAINI SAMSU HADI
mohdzaini.samsuhadi@kosmo.com.my


Tiada ulasan:

Catat Ulasan