Isnin, 9 Jun 2008

Bakteria 'baik' selamatkan nyawa katak

WASHINGTON DC - Serangan penyakit yang selama ini berjaya memusnahkan populasi amfibia di seluruh dunia bakal dapat diatasi dengan mengguna sejenis bakteria 'sahabat', menurut saintis Amerika Syarikat (AS).

Dalam penemuan terbaru dilaporkan Persatuan Mikrobiologi AS di Boston kelmarin, saintis diberitahu ada banyak bakteria yang hidup semula jadi tersembunyi di dalam tubuh katak mampu 'melawan' balik penyakit.

Malah, bakteria tersebut didapati berupaya menyelamatkan amfibia itu daripada jangkitan kulat chytrid yang menjadi penyebab utama lebih satu pertiga katak serata dunia pupus secara misteri kebelakangan ini.

Saintis Reid Harris mendakwa, penemuan itu diperoleh secara tidak sengaja apabila kumpulannya menjumpai katak gunung berkaki kuning atau Rana muscosa yang masih hidup di sebalik amfibia lain pula mati.

"Ancaman chytrid mengakibatkan sehingga 60 peratus katak maut tetapi apabila kami meletakkan Janthinobacterium lividum, tiada seekor pun mati malah umur mereka lebih panjang," katanya. - Agensi

source

Tiada ulasan:

Catat Ulasan