DUBLIN, Ireland 29 Mei - Diplomat dari lebih 100 buah negara semalam mencapai persetujuan berhubung satu triti bagi mengharamkan penggunaan bom berangkai yang ada sekarang dan menggesa ia dimusnahkan dalam tempoh lapan tahun.
Perjanjian tersebut dicapai selepas tertangguh lebih setahun ketika rundingan mengenai pengharaman bom berangkai itu dimulakan di Norway.
Kesemua negara yang menyetujui triti itu dijadual akan menandatanganinya di Oslo, Norway pada Disember ini.
Draf triti itu menyatakan, negara yang menandatangani triti "tidak akan membekalkan bom berangkai walau dalam apa jua keadaan", serta "tidak akan menghasil, membuat, menyimpan atau memindahkannya kepada mana-mana pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung."
Ireland dan beberapa negara penaja bercadang untuk mendedahkan isi kandungan persetujuan itu esok, selepas ia diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa.
Triti itu turut mengandungi dua bentuk kompromi yang diminta oleh Amerika Syarikat (AS) - negara yang menjauhkan diri daripada perundingan tersebut, tetapi sering membayangi perbincangan yang dijalankan.
Perjanjian tersebut akan membenarkan mana-mana negara yang menandatangani untuk menjalin kerjasama ketenteraan dengan negara yang tidak menandatanganinya.
Draf asal triti berkenaan sebelum ini mengharamkan kerjasama seumpama itu, tetapi ditentang oleh AS dan negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan alasan ia menyulitkan tugas mengawal keamanan.
Di bawah triti itu, reka bentuk masa depan bom berangkai akan dibenarkan jika ia mengandungi kurang daripada 10 bom kecil di dalamnya.
Selain itu, setiap bom kecil itu pula mempunyai berat tidak lebih daripada empat kilogram, menggunakan teknologi yang hanya menetapkan satu sasaran dan dilengkapkan dengan sistem keselamatan bagi menanggalkan fius bom. - AP & Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan