
“Phoenix mendarat hampir sempurna di kawasan sasaran yang datar dan kurang berbatu-batan di Marikh selepas perjalanan sembilan bulan dari Bumi,” kata pengurus projek Phoenix, Barry Goldstein di pusat kawalan misi di Makmal Pendorongan Jet (JPL) di Pasadena, California, semalam.
Pendaratan penuh risiko itu berlaku pada 7.53 malam tadi (7.53 pagi ini waktu Malaysia).
Pesawat itu terpaksa menggunakan payung terjun dan kemudian tenaga tujahan untuk menurunkan kelajuannya dalam tempoh tujuh minit daripada 20,400 kilometer sejam bagi membolehkannya mendarat dengan selamat dengan ketiga-tiga kakinya.
Sempurna
“Secara jujur, itulah peringkat paling sukar. Dalam mimpi saya pun saya tidak mungkin terbayang pendaratan yang sebegitu sempurna seperti yang berlaku malam ini,” kata Goldstein di NASA TV.
Phoenix yang dilengkapi pelbagai peralatan berteknologi tinggi akan menjalankan penerokaan selama tiga bulan di kawasan artik Marikh dikenali sebagai Vastitas Borealis.
Pesawat itu akan menggali di bawah permukaan planet tersebut untuk mencari tanda-tanda kewujudan air dan mineral organik yang membolehkan kehidupan.
Kawasan kutub di Marikh mengalami perubahan iklim seperti di Bumi, kerana itu saintis percaya kawasan artik Marikh mungkin mempunyai rekod geologi menunjukkan iklim lebih panas yang membolehkannya didiami hidupan. – AFP & Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan