Rabu, 16 April 2008

Pembinaan Takungan Air Dalam Bandar Raya Yang Pertama Di Dunia Hampir Siap

SINGAPURA, 15 April - Impian bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew 20 tahun lepas untuk melihat wujudnya sebuah kawasan takungan air tawar di bandar raya ini, kini hampir menjadi kenyataan.

Ketua Eksekutif PUB (agensi air nasional Singapura) Khoo Teng Chye berkata projek pembinaan bendungan rendah bagi mengempang selat Marina Bay selebar 350 meter di bahagian selatan republik ini, yang dimulakan kurang tiga tahun lepas, kini sudah 95 peratus siap.

Katanya projek berharga S$240 juta itu sudah beroperasi dan kontraktor terbabit sedang melakukan kerja penyudah terhadap projek bendungan rendah itu serta landskap di sekitarnya.
Kawasan takungan air yang dikenali sebagai Marina Barrage itu akan menyekat kemasukan air laut dan menjadikan lembangan marina berkenaan sebagai kawasan takungan air tawar melalui kaedah pengumbahan semula jadi.

"Kawasan takungan itu akan dipenuhi dengan air hujan dan air sungai yang mengalir ke dalam teluk berkenaan," kata Khoo kepada wartawan asing yang melawat projek itu di sini hari ini.

Khoo berkata takungan itu akan dipenuhi air tawar dan segar sepenuhnya dua tahun lagi dan sekali gus menjadikan teluk berkenaan kawasan takungan air ke-15 di negara ini dan kolam takungan air di bandar raya pertama di dunia.

Katanya air dari teluk ini kemudian akan dipam ke loji untuk dirawat dengan menggunakan teknologi membran terkini, sebelum disalurkan kepada pengguna.
Marina Barrage akan mempunyai kawasan tadahan seluas 10,000 hektar atau satu per enam daripada keluasan Singapura dan mampu memenuhi kira-kira 10 peratus keperluan air republik ini sekarang.

Selain air di kawasan tadahan, Singapura mendapat bekalan airnya daripada air yang diimport dari Malaysia, air laut yang dinyahgaram serta air buangan yang dirawat dan dikenali dengan nama 'NEWater'.

Khoo berkata Marina Barrage merupakan sebuah projek unik kerana ia bukan saja menjadikan teluk berkenaan sebagai sumber bekalan air, tetapi juga sebagai kaedah untuk mengawal banjir dan tempat bagi mengadakan pelbagai kegiatan rekreasi dan sukan air.

Antara kawasan yang dikenal pasti oleh PUB sebagai kawasan mudah dilanda banjir ialah Chinatown, Boat Quay, Jalan Besar dan Geylang.

Khoo berkata bendungan rendah itu serta kawasan sekitarnya akan dibuka kepada orang ramai dan dijangka menjadi tempat tumpuan peminat memancing kerana mereka mempunyai pilihan sama ada untuk memancing ikan air tawar atau air masin. - bernama (Oleh Zakaria Wahab)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan