KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) kini menemui kaedah rawatan menggunakan sel stem bagi penyakit disebabkan kecederaan tulang belakang dan otak yang sehingga kini sukar dirawat menerusi kaedah konvensional.
Penyelidikan sejak lebih setahun lalu oleh tujuh penyelidik diketuai Ketua Jabatan Neurosains, Prof Dr Jafri Malin Abdullah, membolehkan sumber sel diperoleh dari sum-sum tulang pesakit bagi menggantikan sel rosak.
Projek dibangunkan dengan dana RM215,000 dari Kementerian Pengajian Tinggi itu, dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya pada 2011 sebaik mendapat kelulusan etika bagi penggunaan manusia serta kefahaman prinsip asasnya.
Dr Jafri berkata, Jabatan Neurosains USM adalah yang pertama menjalankan penyelidikan mengenai Neural Sel Stem yang memberi harapan kepada pesakit strok, Parkinson, kecederaan tulang belakang, lumpuh dan Alzheimer.
"Kebanyakan kes kecederaan otak dan tulang belakang tidak dapat dirawat dengan sempurna menggunakan kaedah perubatan konvensional, jadi kita perlu mengubah kaedah rawatan menggantikan kawasan berlubang dalam otak dan tulang belakang dengan sel daripada badan manusia sendiri.
"Misalnya, kita ambil sum-sum tulang pada pesakit, kemudian dikulturkan, diubah suai dan masukkan semula menggantikan sel yang rosak pada tulang belakang dan otak," katanya pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, Naib Canselor USM, Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak.
Dr Jafri berkata, penyelidikan juga dilakukan bagi membolehkan sel berkenaan tahan lebih lama apabila dibekukan pada suhu tertentu tanpa mengubah bentuknya yang boleh menyebabkan fungsinya terjejas.
Beliau berkata, ketika ini, penyelidikan dijalankan menggunakan tikus bagi membolehkan pihaknya lebih memahami perkara asas mengenai kaedah rawatan berkenaan sebelum dilakukan terhadap manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan