SYDNEY: Sekumpulan penyelidik Australia mendakwa mereka mengesahkan apa yang sudah lama disyaki golongan ibu kononnya kehamilan dan tempoh selepasnya adalah faktor menyebabkan wanita menjadi pelupa.
Penyelidikan saintis Universiti Catholic Australia, mendakwa ingatan wanita boleh 'terjejas' sehingga setahun lamanya, selepas bersalin, lapor media di sini, semalam.
Namun, kesannya juga masih disifatkan terlalu kecil dan tidak membabitkan tugasan penting.
"Masalah lupa yang banyak dialami wanita bagi tempoh ketika dan selepas hamil masih boleh dianggap pada tahap sederhana. Ia agak sukar dikesan apabila dibandingkan dengan tahap daya ingatan mereka berusia 20-an dengan warga tua 60 tahun ke atas," kata penyelidik, Julie Henry.
Kajian itu membabitkan analisis ke atas 14 kajian berbeza dari seluruh dunia yang menguji daya ingatan lebih 1,000 wanita hamil, ibu dan wanita tidak mengandung.
Ia mendapati wanita hamil berdepan masalah bagi beberapa aspek ujian.
Malah, cabaran paling sukar bagi wanita hamil adalah yang membabitkan ujian atau kesukaran baru yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.
"Bagaimanapun, cabaran menduga daya ingatan bagi tugasan lazim seperti mengingati nombor telefon rakan dan anggota keluarga tidak terjejas," kata penyelidik bersama, Profesor Madya Peter Rendell.
"Namun, keadaan sebaliknya jika mereka diminta mengingati nombor telefon baru, nama atau yang membabitkan keperluan menyimpan maklumat bagi jangka masa lama."
Penyelidik berkata, lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi menentukan jika ada faktor lain menjejaskan ingatan wanita hamil. Keputusan kajian berkenaan disiarkan 'Journal of Clinical and Experimental Neuropsychology'. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan