Rabu, 27 Februari 2008

Rambut bukti jenayah

Saintis Amerika temui cara baru bantu penyiasat cari petunjuk

CHICAGO: Saintis kini boleh memberitahu di mana seseorang itu berada di Amerika Syarikat cuma dengan menganalisis sehelai rambut, yang menawarkan kaedah baru kepada penyiasat jenayah untuk mengenal pasti mayat atau mengesan penjenayah.

Mereka berkata, kepelbagaian dalam isotop hidrogen dan oksigen dalam rambut boleh dipadankan dengan air paip yang diminum, dan memberikan petunjuk di mana seseorang itu tinggal.

"Bagi orang yang berambut, anda boleh mendapatkan sejarah panjang," kata pakar geologi Universiti Utah, Thure Cerling, yang hasil kajiannya disiarkan oleh jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences, Isnin lalu.

Kaedah itu lebih berkesan ke atas contoh rambut yang diambil terus dari kepala kerana pertumbuhan rambut adalah secara berterusan.

Cerling dan profesor biologi universiti berkenaan, James Ehleringer, menghasilkan peta terperinci yang menunjukkan perbezaan dalam isotop hidrogen dan oksigen berdasarkan air paip yang diambil dari 65 bandar raya di Amerika.

Ehleringer, menghantar isteri dan seorang rakannya mengutip contoh air dan rambut daripada tukang gunting rambut di bandar di negeri di selatan, tengah dan barat daya Amerika, manakala anak Cerling melakukan tugasan itu di sebelah utara.

Mereka cuma mengumpulkan contoh dari bandar raya didiami 100,000 penduduk atau kurang untuk memastikan sampel rambut adalah penduduk tempatan, bukan pelancong.

"Dengan keseluruhan Amerika diselaputi contoh air minum, kami dapat melihat di mana kecuraman besar dalam air minum," kata Cerling dalam satu temubual telefon.

Mereka kemudian membuat kajian untuk melihat sama ada paten isotop itu sama padan dengan contoh rambut yang diambil.

"Kami gembira kerana ia memang sama," kata Cerling.

Cerling turut menekankan, penyelidik mungkin dapat memberitahu perbezaan berkenaan di antara Utah dan Texas, tetapi tidak semestinya di antara Chicago dan Kansas City.

Penyiasat polis sudah pun menggunakan kaedah itu untuk membantu mengenal pasti mangsa bunuh. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan